Pasangan warga Singapura rentung dalam kemalangan selepas kereta Ferrari dinaiki mereka terbabas di Kilometer 57.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di Kota Tinggi pada 9 Mei lalu.
Mangsa yang maut ialah pemandu Yeo Tian Wen, 34, dan penumpang yang dipercayai teman wanitanya, Ng Puay Ying, 33.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman memaklumkan pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 9 pagi.
“Kemalangan tersebut melibatkan kereta jenis Ferrari dipandu lelaki berusia 34 tahun terbabit bersama-sama wanita berusia 33 tahun di tempat duduk depan penumpang. Mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing.
“Kereta berkenaan kemudian terbabas lalu kemalangan dan mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan, terbakar serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.
The Straits Times melaporkan kejadian ini berlaku semasa ahli-ahli Kelab Pemilik Ferrari Singapura melakukan pemanduan pagi ke Mersing.
Seorang ahli perniagaan yang tidak mahu identitinya memaklumkan lebih 30 buah kereta bergerak secara konvoi ke Mersing.
Mangsa dikatakan hilang kawalan kereta sebelum mengalami kemalangan. Semua pemandu atau individu yang melalui jalan berkenaan ketika kemalangan itu berlaku tidak mempunyai pemadam api.
Video kemalangan itu juga tular di media sosial. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.