Salah satu trend pelik bin ajaib yang menjadi bualan di media sosial ialah mengisi ais dalam mangkuk tandas.
The Daily Galaxy melaporkan cara ini dilihat cara terbaik membersihkan mangkuk tandas tanpa menjejaskan porselin. Caranya ialah menuang dua gelas ais ke dalam mangkuk tandas sebelum cucian dibuat.
Ais memberi kesan dalam dua cara. Pertama, apabila tandas dipam bersama dengan ais, ia bertindak sebagai pelelas ringan yang membuang kotoran permukaan, kulapuk dan bendasing.
Lebih menarik, ia membuang kotoran tanpa menjejaskan sedikit pun permukaan porselin tandas. Kedua, ais berperanan sebagai penghalang fizikal apabila dicampur dengan bahan pencuci.
Ini memberi masa buat bahan pencuci bukan saja membersihkan tandas dengan berkesan. Malah, ia juga dapat menjadikan mangkuk tandas bebas daripada kuman dan bakteria.
Selain itu, apabila ais cair, ia akan melepaskan air sejuk sedikit demi sedikit. Ini sekaligus memanjangkan lagi kitaran membilas dan menjadikan permukaan porselin lebih halus.
Nak jadikan tips ini lebih berkesan? Hanya perlu tambah sedikit cuka putih atau soda penaik pada ais bagi menjadikan cucian tandas lebih berkesan.
Meskipun begitu, portal itu mengingatkan pengguna agar menggunakan satu jenis bahan pencuci saja bila dicampur dengan ais. Ini kerana kombinasi bahan pencuci yang berbeza boleh mencetuskan masalah besar.
Contohnya, bahan pencuci yang dicampur dengan peluntur walaupun secara tidak sengaja boleh menghasilkan gas klorin. Mana-mana individu yang terhidu atau terkena gas itu berdepan masalah batuk, gatal-gatal, kulit kemerahan, luka melepuh dan membawa maut.
Di samping itu, The Daily Galaxy turut mengesyorkan ais bersaiz kecil digunakan untuk cucian sebegini. Ini kerana ais bersaiz besar boleh menjejaskan permukaan porselin mangkuk tandas.