Hantaran media sosial berhubung turapan jalan yang dibuat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil baru-baru ini mendapat maklum balas positif.
Kerja turapan jalan itu dibuat di kawasan sekitar flat Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur. Ini susulan aduan penduduk setempat tentang keadaan jalan yang rosak dan perlu dibaiki dengan segera.

Jalan tersebut bukan saja berlubang dan ditakungi air. Malah, jika keadaan ini berterusan, ia boleh mengancam keselamatan penduduk dan mengakibatkan kerosakan pada kenderaan penduduk.
Lantaran itu, Fahmi mengarahkan kerja menurap jalan segera dijalankan di kawasan tersebut bagi menjamin keselamatan penduduk yang menggunakan jalan berkenaan.

Selepas menilai tahap kerosakan jalan tersebut, jalan tersebut kemudiannya dibaiki dan diturap bagi memastikan ia selamat untuk digunakan orang ramai.
Fahmi kemudiannya memuat naik siri gambar kerja turapan jalan tersebut di semua platform rasmi beliau. Beliau berharap usaha menurap jalan ini dapat menjamin kesejahteraan penduduk sekitar.

“Semoga langkah ini dapat membantu menjaga keselamatan dan kemaslahatan semua pengguna jalan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebaik hantaran itu dimuat naik, ada pengguna media sosial yang memberi maklum balas positif. Antaranya Pakcu Cah dengan komen ini, “Terus membudi YAB (Yang Berhormat), syabas.”

Islah Komuniti Pantai Timur pula melihat tindakan pantas Fahmi akan menguntungkan rakyat. “Tindakan yang cepat seperti ini memberi keyakinan kepada rakyat terhadap kepimpinan,” katanya di ruang komen.
Zai Khan pula melihat usaha Fahmi patut dipuji. “Apapun, terima kasih atas usahanya. Mungkin ini permulaan, dan ada langkah yang lebih baik,” ujarnya.
Yang pasti, imej kerja turapan jalan itu terus menjadi bualan warga maya sehingga hari ini.