Manusia Dikurung 20 Tahun Dalam Reban Besi

Indonesia dikejutkan dengan kisah seorang lelaki yang dikurung selama 20 tahun dalam sangkar besi pada Januari lalu.

Kompas melaporkan keluarga seorang warga emas bernama Sukirno atau Mbah Kirno berbuat demikian atas faktor keselamatan. Ini kerana Mbah Kirno, 60, mengancam akan membunuh mereka lebih-lebih lagi dengan kesihatan mentalnya yang kurang baik.

Semasa tahun 80-an, dia cukup dikenali masyarakat setempat sebagai seorang seniman dan pengacara serta memiliki suara yang merdu.

Mbah Kirno juga diketahui suka mempelajari ilmu kebatinan. Hal ini mendorongnya melakukan perjalanan sehingga Malang dan Tulungagung demi memantapkan ilmu yang dipelajari.

Selepas kehilangan isteri tercinta, kesihatan mental Mbah Kirno mula merosot. Ini menyebabkan rutin hariannya berubah termasuk tidak tidur pada waktu malam.

Situasi ini diburukkan lagi dengan tindakan Mbah Kirno yang kerap mengancam keselamatan keluarga anak saudaranya, Adi Prayitno. Hal ini memaksa mereka meletakkan dia dalam sangkar besi pada 2006.

Sangkar tersebut unik kerana beralaskan kayu. Adi memaklumkan selain membantu mereka membersihkan Mbah Kirno, ini juga bertujuan menghalang dia daripada menggunakan ilmu kebatinannya.

Ketua Desa Temon, Suwata memaklumkan mereka cuba membantu tetapi tidak berhasil. Ini disebabkan tindakan Mbah Kirno yang agresif termasuk menakutkan pasukan perubatan ketika cuba menyuntik dia.

Selepas 20 tahun, Mbah Kirno kemudiannya dibawa keluar dari sangkar hasil tindakan seorang anggota polis bernama Ipda Purnomo. Purnomo yang menguruskan Yayasan Berkas Bersinar Abdi memastikan warga emas itu mendapat rawatan sewajarnya di Lamongan.

Laporan terkini menyatakan Mbah Kirno sudah mula aktif bersukan dan mempelajari agama. Purnomo melihat situasi ini boleh ditambah baik menerusi rawatan perubatan termasuk perubatan alternatif dan perhatian ahli keluarga terhadapnya.

Claim Money Packet TnG