Masjid Sri Sendayan dipilih sebagai penerima anugerah World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) untuk anugerah Global Outstanding Mosque of the Year 2026.
Pencapaian ini sekali gus mengiktiraf kecemerlangan masjid berkenaan sebagai pusat komuniti Islam yang aktif di Malaysia.
Pencapaian Masjid Sri Sendayan dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menerusi satu hantaran di media sosial.
“Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pengurusan dan jawatankuasa Masjid Sri Sendayan di Seremban dinobatkan sebagai Global Outstanding Mosque of the Year 2026 dalam World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) berkat keindahan seni bina seni gabungan era Abbasiyah dan Mamluk hasil wakaf tokoh perbankan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
“Selain reka bentuknya yang megah dan mampu menampung 5,000 jemaah, masjid ini diiktiraf atas keunggulannya berfungsi sebagai pusat komuniti menyeluruh yang aktif menggerakkan program pemerkasaan sosioekonomi, pendidikan agama, dan pendedahan teknologi moden,” katanya di Facebook.
Dua faktor menyumbang kepada pemilihan Masjid Sri Sendayan sebagai penerima anugerah. Pertama, seni bina masjid menggabungkan rekaan era Bani Abbasiyah dan Mamluk.
Kedua, Masjid Sri Sendayan juga aktif sebagai pusat komuniti dengan melaksanakan pelbagai program termasuk sosioekonomi dan pendidikan agama dalam kalangan komuniti.
Dr Zulkifli berharap anugerah ini menjadi pemangkin semangat buat pengurusan masjid agar terus gigh dan cemerlang dalam menabur bakti kepada masyarakat.