Tindakan pasukan bomba Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia menyembur air ke jalan menjadi bualan warga maya.
Tindakan mereka itu dikesan menerusi sebuah video yang dimuat naik seorang pengguna Facebook bernama Anningmu Sukelaloo.
Pasukan bomba Sambas dilihat menyembur air ke kawasan sekitar sambil bergerak di jalan raya. Dua jentera bomba dikesan menyembur air dalam jumlah yang banyak.
Anningmu Sukelaloo kemudiannya menulis komen bersama video itu yang berbunyi, “Berlatih sebelum hujan.”
Ramai pengguna Facebook merasa pelik dengan tindakan pasukan bomba Sambas. Seorang pengguna bernama Ridthwan AS melihat air tersebut sepatutnya digunakan untuk memadamkan kebakaran.
Jika Indonesia mahu hujan turun di kawasan yang terjejas akibat kebakaran, mereka sepatutnya melakukan pembenihan awan. “Buatlah pembenihan awan baru betul,” katanya.
Seorang lagi pengguna bernama Arif S Plonco pula menyifatkan kerja tersebut sebagai kerja sia-sia. “Belum 1 kilometer (km) sembur sudah kering lagi,” ujarnya.
Indonesia kini bergelut memadamkan kebakaran yang berlaku di Sumatera, Papua dan Kalimantan. Kebakaran hutan di tiga wilayah ini menyebabkan jerebu yang melanda negara-negara jiran termasuk Malaysia.


