Trending

Rakyat Indonesia Sembur Air Enzim Atasi Masalah Jerebu

Malaysian Update

Rakyat Indonesia dilihat mula menyembur air enzim ke udara dengan harapan semburan tersebut dapat mengatasi masalah jerebu.

Malaysian Update melaporkan Rumah Enzim Bakti Nusantara dan Persatuan Pencipta Kandungan Seluruh Indonesia (AKKSI) mengedarkan air enzim kepada penduduk sekitar Sumatera Selatan.

Selain itu, mereka turut menyembur air enzim ke udara dengan tujuan membantu menambah baik kualiti udara di sekeliling.

Meskipun begitu, keberkesanan taktik ini dipersoalkan. Ini kerana jerebu terdiri daripada partikel pepejal dan pelepasan gas halus dengan saiz 2.5 mikrometer atau lebih kecil hasil daripada kebakaran hutan atau pelepasan industri.

Partikel ini juga hanya boleh ditapis, bukan terkesan dengan semburan enzim yang dibuat di kawasan ruang terbuka.

Untuk rekod, NDTV melaporkan kerajaan India pernah melaksanakan semburan enzim untuk mengatasi isu pencemaran udara di New Delhi pada 2024. Meskipun semburan itu membantu menurunkan kadar pencemaran, ia hanya bertahan selama tiga jam.

Selain itu, komuniti saintifik dan pencinta alam juga menyatakan kebimbangan berhubung impak semburan enzim terhadap alam sekitar.

Idea sama juga pernah diteroka kerajaan Indonesia bagi mengatasi pencemaran udara di Jakarta dan Bali.

Idea semburan air enzim ini dilihat usaha rakyat Indonesia yang semakin bergelut dengan situasi jerebu di negara itu. Kebakaran hutan di Sumatera, Papua dan Kalimantan turut mengakibatkan jerebu di negara jiran termasuk Malaysia.