Trending

Ustaz Abdul Somad Mohon Balasan Buat Pembakar Hutan

Instagram/Ustaz Abdul Somad

Pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara memanjatkan doa kepada Allah s.w.t agar memberikan balasan setimpal buat mana-mana pihak yang membakar hutan di negara itu.

Doa itu dikongsikan pendakwah berusia 49 tahun itu menerusi satu hantaran di Instagram baru-baru ini.

Ustaz Abdul Somad yang juga pensyarah Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau (UIN Suska) bukan saja memohon Allah menghukum orang yang membakar hutan di Indonesia.

Malah, beliau juga memohon kepada Ilahi agar hukuman sama turut dirasai kelompok yang memberi izin kepada kebakaran hutan, orang yang enggan membantu memadamkan kebakaran, pelaku rasuah dan orang yang mengambil untung daripada bencana berkenaan.

“Ya Tuhan kami, azablah mereka di dunia. Matikan mereka dalam keadaan su’ul khatimah, azablah mereka di kubur dan neraka jahanam,” katanya dalam hantaran tersebut.

Situasi jerebu yang tercetus akibat kebakaran hutan di Indonesia bukan saja memberi kesan negatif kepada kesihatan dan kegiatan ekonomi di negara itu.

Malah, ini turut menjejaskan negara-negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura. Selepas jerebu mula dikesan di Jawa Barat termasuk Jakarta, Indonesia akhirnya bersetuju menerima bantuan negara memadamkan kebakaran hutan di negara itu.