Kisah kehidupan seorang warga emas dari indonesia bernama Abah Rastam tular di media sosial baru-baru ini.
Ini susulan kemunculan dua anaknya selepas bapa mereka mendapat bantuan daripada pempengaruh media sosial Malaysia, Aisar Khaled. Ini termasuk bantuan rumah baharu buat Abah Rastam dan anak perempuannya, WIna yang mempunyai sindrom Down.
Kisah kesusahan Abah Rastam dan WIna menarik perhatian Aisar sehingga mendorongnya pergi ke Subang, Jawa Barat untuk membantu mereka.
Selepas melihat keadaan Abah Rastam dan Wina termasuk rumah yang serba daif, Aisar bukan saja menghulurkan bantuan wang tunai dan barangan keperluan asas.
Malah, beliau turut memastikan sebuah rumah baru siap dibina bagi memastikan kehidupan mereka menjadi lebih baik.
Meskipun begitu, kerenah dua anak Abah Rastam yang menjadi bualan warga maya. Ini kerana apabila Aisar cuba membantu anak perempuannya dengan menawarkan modal untuk berniaga secara kecil-kecilan, tawaran itu ditolak oleh wanita berkenaan.
Anak perempuan Abah Rastam memberi alasan dia tidak boleh bekerja kerana sakit dan hanya boleh makan dan tidur. Jawapan wanita tersebut membuatkan Aisar menepuk dahi sebagai tanda kecewa.
Video tersebut terus tular di media sosial, salah satunya dikongsikan Malaysia Update News. Ramai pengguna media sosial membidas tindakan anak-anak Abah Rastam kerana tidak mengendahkannya semasa susah sebelum muncul semula pada masa senang.
Seorang pengguna Threads bernama Fatin Raihanis menyelar perangai dua anak Abah Rastam sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya muncul apabila bapa mereka menerima bantuan.
“Geram pulak tengok kes Abah Rastam yang Aisar tolong ni . Melampau betul anak-anak dia dengan menantu dia . Macam-macam minta,” katanya dalam satu hantaran di platform itu.
Seorang pengguna Facebook bernama Ainunaz Azkil pula melihat anak-anak Abah Rastam hanya berminat menumpang kesenangan bapa mereka selepas kisahnya tular.
“Aku ikut betul cerita Abah Rastam ini. Wujud ya anak-anak derhaka begini. Kasi biar bapanya sama adik sindrom Down makan daun ubi hari-hari.
“Giliran ada orang bantu, tiba-tiba datang konon minta maaf. Lepas tu minta dibantu pula. Ketara sangat,” katanya.
Meskipun begitu, usaha AIsar membantu orang susah turut mendapat pujian ramai di media sosial. Ini kerana tindakannya menjadi contoh kepada orang lain untuk tampil membantu.