Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake menjadikan ajaran Rasulullah s.a.w sebagai inspirasi dalam memerangi gejala sosial termasuk isu dadah.
Hal ini ditegaskan beliau dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negara Sri Lanka pada Ogos lalu.
Dissayanake menyifatkan mesej yang dibawa agama Islam bersifat sejagat dan relevan dengan manusiawi. Antara nilai Islam yang menarik perhatian beliau ialah keamanan, keadilan dan persaudaraan.
Atas sebab itu, beliau melihat nilai-nilai yang diajarkan Rasulullah s.a.w cukup sesuai untuk memerangi gejala sosial di Sri Lanka termasuk isu penyalahgunaan dadah.
“Islam menolak segala bentuk kemungkaran yang merosakkan kesucian jiwa seseorang dan nilai moral masyarakat.
“Oleh itu, ajaran dan teladan Nabi Muhammad memberikan kekuatan besar kepada program yang bertujuan memperkukuh nilai moral masyarakat, seperti kempen nasional yang dilancarkan kerajaan untuk memerangi ancaman dadah yang semakin merebak seperti wabak di seluruh tanah air kita,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Sejak bergelar presiden, Dissanayake berikrar mahu memastikan Sri Lanka bebas daripada gejala penyalahgunaan dadah.


