Asal Usul Nama Port Dickson

Nama Port Dickson kembali menjadi perhatian pengguna media sosial baru-baru ini.

Hal ini berlaku kerana calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Islah Wahyudi Zainudin mahu menukar nama Port Dickson kepada nama asalnya, Tanjung Kemuning.

Ini selaras dengan pendirian beliau bahawa kawasan setempat yang diberi nama penjajah sepatutnya ditukar kembali kepada nama tempatan.

Hal ini bukan sekali dilakukan selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963. Antaranya North Borneo ditukar kepada Sabah (1963), Jesselton kepada Kota Kinabalu (1965), Province Wellesley kepada Seberang Perai (1972), Telok Anson kepada Teluk Intan (1982) dan Port Weld kepada Kuala Sepetang (1982).

Islah mendedahkan mengikut catatan sejarah, daerah itu dahulunya merupakan sebuah perkampungan Melayu dikenali sebagai Tanjung Kemuning.

Namun begitu, kawasan itu dirampas oleh Setiausaha Kolonial Negeri-Negeri Selat, Sir John Frederick Dickson sebelum menukarnya kepada nama Port Dickson sekitar tahun 1889.

“Ramai tidak tahu bahawa Dickson telah merampas Tanjung Kemuning, sebuah perkampungan Melayu yang kini lenyap sepenuhnya. Bukti peninggalan Kampung Bahasa Kapor hari ini hanyalah sebuah masjid lama iaitu Masjid Lama Port Dickson Kampung Bahasa Kapor yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

“Ini bukan perbuatan yang wajar dijulang atau dibanggakan. Nama penjajah pula yang diangkat menjadi identiti negara kita. Pada saya, ini sesuatu yang tidak wajar,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada 2025.

Selain Tanjung atau Tanjung Kemuning, Port Dickson turut dikenali dengan nama Arang. Ini disebabkan lokasinya berhampiran dengan Pulau Arang di mana aktiviti perlombongan arang dijalankan pada ketika itu.

Perkembangan pesat Arang sebagai pusat perindustrian dan Tanjung sebagai bandar baru mendorong Dickson menjadikan ia sebagai kawasan pelabuhan strategik dan tempat berehat bagi orang British.

Selepas landasan keretapi siap dibina yang menghubungkan Port Dickson dengan Sungai Ujong (kini Seremban), aktiviti perkapalan di situ bertambah sibuk. Pada 1893 sahaja, 600 kargo diturunkan di Port Dickson sebelum dibawa ke Sungai Ujong menerusi keretapi.

Hal ini turut membawa kepada perubahan struktur di pusat bandar daripada bangunan kayu kepada bangunan batu era kolonial.

Claim Money Packet TnG