Bintang drama Breaking Bad, Giancarlo Esposito sah memeluk Islam.
Saudi Gazette melaporkan berita gembira itu dikongsikan Pengerusi Lembaga Hiburan Awam Arab Saudi, Turki Al-Sheikh.
Al-Sheikh memaklumkan Esposito, 68, telah mengucap dua kalimah syahadah dan menyertai solat berjemaah bersama krew penggambaran di sebuah masjid di Maghribi.
Esposito dilaporkan terbuka hati untuk memeluk Islam selepas menikmati pengalaman positif ketika menyertai penggambaran filem Seven Dogs di Arab Saudi.
Al-Sheikh yang juga penggerak produksi filem berkenaan memaklumkan pelakon The Mandalorian itu menghargai kemesraan penduduk tempatan dan pengalaman semasa penggambaran.
Esposito cukup dikenali kerana membawa pelbagai watak menarik termasuk antagonis. Selain The Mandalorian dan Breaking Bad, beliau juga pernah muncul dalam Captain America: Brave New World, Westworld dan The Boys.
Seven Dogs merupakan filem termahal yang pernah dihasilkan dalam Bahasa Arab. Selain Esposito, filem tersebut turut menampilkan Monica Bellucci, Max Huang, Salman Khan dan Sanjay Dutt.