Seorang bintang Piala Dunia yang beraksi mewakili Australia mendedahkan beliau memeluk Islam selepas bertemu ulama Islam terkenal dari Zimbabwe, Mufti Ismail Menk.
Anekdot itu dikongsikan penyerang Livingston, Tete Yengi dalam satu temu bual bersama Qalby Studios baru-baru ini.
Yengi, 25, bercerita bahawa beliau mula mengenali Islam menerusi pembelajaran, refleksi dalaman dan keyakinan terhadap agama syumul itu.
Lantas, anak jati Adelaide itu memilih untuk mengunjungi masjid di tempat asalnya, Masjid Adelaide untuk melihat dengan lebih rapat umat Islam beribadat pada hari Jumaat.
Yengi tidak tahu pada hari itu, masjid tersebut turut menerima kunjungan Mufti Menk untuk solat Jumaat. Selepas selesai solat Jumaat, beliau mengambil kesempatan beramah mesra dengan para jemaah yang hadir.
Seorang jemaah yang tahu Yengi sedang mengenali Islam kemudiannya membawa beliau bertemu dengan Mufti Menk. Di sinilah, bekas penyerang Machida Zelvia itulah detik beliau bergelar seorang Muslim.
“Bila saya bersalaman dengan Mufti Menk, beliau bertanya, ‘Anda sudah mengucap dua kalimah syahadah?’ Saya kata, ‘Belum.’
“Beliau kemudian bertanya, ‘Anda mahu lakukannya sekarang?’ Saya kata, ‘Saya tak akan kata tidak.’ Jadi, saya mengucap dua kalimah syahadah di situ bersama beliau,” katanya.
Yengi kini bersiap sedia bersama skuad The Socceroos menghadapi pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia menentang Mesir pada 4 Julai ini.