Sebuah jambatan kecil di Indonesia menjadi bualan warga maya negara itu kerana dirasmikan bak projek mega.
Harian Kota melaporkan majlis perasmian Jambatan Merah Putih Presisi di Dukuh Claket, Desa Tohkuning, Karangpandan, Karanganyar pada 12 Mei lalu dihadiri ramai orang kenamaan.
Antara yang hadir ialah Bupati Karanganyar, ketua polis daerah, komander tentera, pimpinan Forum Koordinasi Pimpinan Daerah (Forkopimda), pegawai kampung dan penduduk setempat.
Video majlis perasmian tersebut kemudiannya tular di media sosial. Ini sekaligus menimbulkan persoalan mengapa ramai orang kenamaan berada di situ.
Hakikatnya, jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada projek yang direalisasikan menerusi kerjasama kerajaan tempatan, Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri), Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan penduduk setempat.
Ini susulan arahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang mahu kerajaan di setiap wilayah proaktif mengenal pasti masalah setempat termasuk menambah baik infrastruktur yang memerlukan perhatian segera.
Jambatan Merah Putih Presisi berada dalam kategori tersebut. Ini kerana jambatan yang ada sebelumnya musnah akibat musibah banjir.
Justeru, jambatan sepanjang empat meter itu dibina hasil kerjasama semua pihak termasuk penduduk setempat.
Bupati Karanganyar, H. Rober Christanto melihat kewujudan jambatan baharu itu bukan saja memudahkan perjalanan penduduk. Malah, ia secara tidak langsung merancakkan lagi pembangunan ekonomi kawasan berkenaan.