Pendaki gunung, Jaslinda Saludin, 49, tidak pernah meninggalkan solat sepanjang 14 hari tersesat di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak.
Perkara itu dikongsikan suami Jaslinda, Haszman Othman, 61. Haszman memberitahu isterinya tidak pernah meninggalkan solat sepanjang tempoh perkara itu berlaku.
“Dia tunaikan solat lima kali sehari. Dia cuma menghitung hari yang berapa hari dia ada berpandukan pada matahari.
“Dia berserah kepada Allah SWT. Bagi saya memang dia berserahlah. Bila dia seorang diri dalam hutan, tiada orang lain, tak ada manusia, itu antara dia dengan Allah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Haszman percaya kesungguhan Jaslinda menjaga solat antara sebab Allah s.w.t memelihara keselamatan isterinya semasa sesat di kawasan gunung berkenaan.
“Itulah hutan rimba, binatang buas pun ada tapi Allah tak bagi jumpa dia. Mungkin berkat solat dia.
“Saya tak tahu, betul-betul saya cakap. Antara dia dengan Allah saja yang tahu benda tu. Fikir balik, kenapa Allah pilih dia? Kenapa Allah tak pilih kita?” tambahnya.
Haszman turut memaklumkan Jaslinda sudah menunjukkan perkembangan positif dan telah dibenarkan keluar dari hospital.
Selepas dua minggu dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda ditemukan selamat di sebuah penempatan Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh pada 5 Jun lalu.