Seorang pengguna Facebook bernama Rohaizat Zainudin melihat penglibatan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor membantu memantau kemajuan pembangunan negara terutama di negeri Johor.
Pandangan itu dibuatnya dengan mengulas kenyataan baginda dalam satu sesi audio siar bersama rakyat Johor baru-baru ini.
Tunku Ismail meluahkan kekecewaan baginda berkenaan kelewatan kemajuan beberapa projek infrastruktur kesihatan utama di Johor.
Antaranya Hospital Pasir Gudang dan Hospital Sultanah Aminah 2. Meskipun baru siap dibina, Hospital Pasir Gudang tidak dapat beroperasi sepenuhnya disebabkan oleh isu kekurangan staf.
Projek Hospital Sultanah Aminah 2 pula masih belum mendapat kelulusan sehingga hari ini. Jika hospital tersebut siap, hospital ini berpotensi mengurangkan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Isu ini dilihat memberi kesukaran kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.
“Siapa yang susah? Rakyat yang susah atau orang atasan yang susah? Rakyat yang susah,” katanya.
Selain dua projek berkenaan, kerajaan Johor juga terpaksa mengeluarkan belanja sendiri sebanyak RM60 juta untuk menaik taraf kemudahan kesihatan di negeri berkenaan.
Atas sebab itu, Rohaizat melihat teguran Tunku Ismail itu tepat pada masanya. Ini kerana pada hematnya, semua kelemahan termasuk kelewatan projek siap bukan perkara baru dan sudah diketahui sejak sekian lama.
Rohaizat turut mengingatkan sesetengah pihak agar berhenti mempolitikkan isu kemudahan kesihatan. Ini kerana dia melihat ini sebagai isu hak asas yang patut diterima semua rakyat.
“Kelemahan ini sudah diulangsiar atau dibentangkan sekian lama. Tapi nampaknya sengaja didiamkan atau memang ada isu pilih kasih yang ketara.
“Nak berpolitik silakan, tapi janganlah bermain2 dengan keperluan rakyat. Terutamanya kesihatan! Jangan sampai ada kes rakyat terkorban disebabkan kelewatan rawatan,” katanya di Facebook.
Pandangan tegas Rohaizat dibuat susulan komen seorang individu yang mempertikaikan mengapa istana perlu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
Selepas hantaran tersebut disiarkan, ramai pengguna turut bersetuju dengan pandangan Rohaizat. Ini kerana ketegasan Tunku Ismail bersuara menunjukkan baginda mengutamakan kebajikan rakyat.