Seorang remaja Indonesia menjadi bualan pengguna media sosial apabila membantu memadamkan kebakaran hutan dengan memakai kostum adiwira terkenal, Superman.
Rudiansyah yang berasal dari Kota Palangka Raya, Kalimantan Tengah membantu memadamkan kebakaran hutan selepas pulang dari sekolah.
Langkah itu dibuat memandangkan kebakaran dilihat semakin meluas berhampiran kediamannya di Jalan Petuk Katimpun, Jekan Raya.
“Selepas sekolah, saya akan balik dan membantu memantau situasi. Daripada berada di rumah dan bermain dengan telefon, saya lebih rela sertai krew memadam api kerana ini wilayah saya,” katanya kepada AJ+.
Kerajaan Indonesia menganggarkan lebih 107,000 hektar tanah terbakar akibat kebakaran hutan untuk tahun 2026.
Meskipun begitu, ramai penyelidik bebas pula berpandangan angka sebenar ialah 285,000 hektar – empat kali ganda keluasan saiz Jakarta.
Ramai pakar percaya hal ini berlaku disebabkan fenomena El Nino dan aktiviti pembersihan hutan bagi memberi laluan kepada aktiviti perladangan dan pertanian.
Bapa Rudiansyah, Mulyadi menyifatkan anaknya bukan saja rajin tetapi memahami cara dan operasi pemadaman api.
“Anak saya faham mudah sebabnya selepas sekolah, kalau tiada kegiatan, dia pasti ikut kami memadamkan api. Jadi, dia tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Rudiansyah dan bapanya menjadi sukarelawan bomba untuk membantu memadamkan kebakaran sekitar kawasan mereka. Dia bercita-cita menjadi bomba satu hari nanti.