DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor membidas Amerika Syarikat (US) kerana terus mengamalkan sikap imperialis.
Pandangan tegas itu dizahirkan baginda dalam temu bual bersama pempengaruh media sosial terkenal, SNEAKO baru-baru ini.
Tunku Ismail menyifatkan tindakan US yang cuba memaksa sistem demokrasi mereka ke atas negara-negara lain bersifat imperialis dan tidak boleh diterima.
Ini kerana pada hemat baginda, setiap negara memiliki budaya dan agama yang berbeza. Tunku Ismail percaya faktor-faktor ini menyebabkan sesetengah negara tidak sesuai dengan idea acuan demokrasi versi US.
“Tidak semua negara yang boleh (menerima demokrasi), demokrasi tidak berkesan di mana-mana. Terdapat beberapa tempat di mana itu tidak akan berkesan apabila berkait dengan demokrasi.
“Jadi, anda tidak boleh (memaksa) hanya kerana anda percayakan demokrasi jadi, negara-negara lain harus menerimanya.
“Itu tidak boleh kerana setiap perkara berbeza. Macam saya kata, budaya saja berbeza. Kepelbagaian dan aspek agama juga berbeza. Dan itu memainkan peranan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Melihat kepada kecenderungan imperialis negara Uncle Sam itu, Tunku Ismail melihat Malaysia harus bersikap bijak dari segi diplomatik ketika berurusan dengan US.
“Buat masa sekarang, itulah keadaan yang kita perlu hadapi. Jadi, kita harus lebih bijak berurusan dengan mereka dari segi diplomatik,” tambahnya.
Selain dasar luar, Tunku Ismail turut berbicara tentang subjek lain seperti sukan sebagai medium perpaduan, usahanya membangunkan belia negeri Johor dan isu Palestin.