‘Hantavirus’ Risiko Pandemik Baru Bersebelahan Malaysia

Risiko pandemik hantavirus berhampiran Malaysia semakin membimbangkan apabila dua kes penyakit itu dikesan di Singapura.

Berita Harian Singapura melaporkan dua penduduk Singapura yang menaiki kapal persiaran, MV Hondius telah diasingkan sementara menunggu keputusan ujian penyakit pernafasan jarang itu.

Dua lelaki berusia 65 dan 67 tahun berada di atas kapal dan penerbangan sama dari St. Helena ke Johannesburg, Afrika Selatan di mana kes jangkitan hantavirus dikesan pada 25 April lalu.

Kedua-duanya tiba di Singapura pada awal Mei dan kini di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan Singapura (NCID). Pesakit hantavirus yang sah dikesan tidak pergi ke Singapura dan meninggal dunia di Afrika Selatan.

Sekiranya keputusan ujian kedua-dua individu ialah negatif, mereka akan diuji sekali lagi sebelum dibebaskan daripada kuarantin. Setelah itu, mereka kemudian menjalani pemantauan melalui telefon bagi baki tempoh pengawasan selama 45 hari dari tarikh terakhir pendedahan kepada virus.

Kapal MV Hondius menjadi tumpuan susulan tiga individu yang berada di atas kapal itu meninggal dunia akibat hantavirus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan lima kes telah disahkan dan tiga kes disyaki dilaporkan termasuk tiga kematian.

MV Hondius dijangka tiba di Kepulauan Canary pada 10 Mei ini. Kesemua anak kapal dan penumpang akan dipindahkan untuk kuarantin dan ujian penyakit tersebut.

Kerajaan Argentina juga memaklumkan mereka merancang untuk menguji semua jenis rodensia di bandar pesisir Ushuaia, lokasi MV Hondius berlepas pada 1 April lalu.

Manusia biasanya dijangkiti hantavirus melalui sentuhan dengan tikus yang dijangkiti atau air kencing, najis, dan air liur haiwan tersebut. Penularan penyakit itu daripada manusia ke manusia jarang berlaku.

Meskipun begitu, WHO tidak menolak dengan tempoh inkubasi virus Andes yang boleh mencecah sehingga enam minggu, pertubuhan itu menjangkakan lebih banyak kes dilaporkan.

Claim Money Packet TnG