Arab Saudi Bangunkan Sistem Penyejuk Tanpa Elektrik

Sekumpulan penyelidik di Arab Saudi telah membangunkan sistem penyejuk tanpa elektrik.

The Times of India melaporkan sekumpulan penyelidik di King Abdullah University of Science and Technology telah membangunkan sistem penyejuk pasif yang dipanggil NESCOD.

NESCOD dilihat sistem penyejukan alternatif yang bersifat mesra alam buat komuniti yang tinggal di kawasan terpencil atau di kawasan beriklim panas.

Sistem ini menggunakan dua kitaran iaitu penyejukan dan pengecasan semula. Kitaran penyejukan menyaksikan ammonium nitrat dilarutkan ke dalam air sebelum ia menyerap haba daripada persekitaran.

Hal ini menyebabkan suhu cecair menurun dengan cepat. Sistem ini boleh mencapai sehingga 191 watts per kaki persegi mengikut ujian makmal.

Kitaran pengecasan semula pula berfungsi dengan menggunakan cahaya matahari untuk menukar air menjadi larutan garam kepada wap. Apabila perkara itu berlaku, ammonium nitrat akan membentuk kristal lagi.

Ini sekaligus mengecas NESCOD untuk menghasilkan kitaran penyejukan tanpa memerlukan tenaga elektrik. Proses ini juga menyaksikan kesan penyejukan boleh disimpan dan diakses pada bila-bila masa.

Penyelidik Arab Saudi mendapati NESCOD tetap berkesan meskipun selepas mengharungi beberapa kitaran. Ini kerana ia mampu menyejatkan air pada kadar 2.2 kilogram per kaki sejam dengan suhu antara lima hingga 15 darjah Celsius.

Selain itu, sistem ini juga menangkap wap air di mana ia boleh dikitar semula. Ciri ini amat membantu terutama jika sistem NESCOD digunakan di kawasan di mana sumber air terhad seperti padang pasir.

Sistem NESCOD memiliki potensi untuk dikomersialkan. Ini kerana bahan yang digunakan iaitu ammonium nitrat banyak dihasilkan dan boleh didapati di mana-mana.

Selain itu, sistem ini juga mencapai tahap penyejatan air yang tinggi dan lebih menguntungkan dari segi kewangan. Ini amat membantu bagi negara-negara membangun atau wilayah terpencil yang mahukan akses sistem penyejukan tanpa memberi tekanan kepada grid tenaga elektrik.

Claim Money Packet TnG