Pelawak Indonesia Disiasat Polis

Seorang pelawak Indonesia disiasat polis negara itu susulan dakwaan kandungan rancangan Netflix khasnya menghina agama Islam.

Pandji Pragiwaksono keluar dari ibu pejabat polis Jakarta pada petang 6 Februari lalu selepas memberi keterangan selama tujuh jam.

Polis memaklumkan Pandji dipanggil untuk siasatan. Namun begitu, polis tidak menamakannya sebagai suspek atau menyatakan sebarang pertuduhan rasmi.

“Saya cuba menjawab soalan polis sebaik mungkin dan saya rasa saya tidak melakukan penghinaan terhadap agama. Saya akan ikut sahaja proses undang-undang,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Rancangan komedi Pragiwaksono yang disiarkan di Netflix pada 27 Disember lalu menjadi bualan ramai peminat hiburan Indonesia.

Ini kerana banyak jenaka beliau yang dilihat menyindir arena politik negara itu termasuk pilihan raya presiden 2024.

Ini mencetuskan perbalahan dengan sesetengah menyifatkan jenaka dan dakwaan Pragiwaksono menghina institusi agama dan negara Indonesia. Ada pula yang mempertahankan keberanian beliau mengkritik pihak-pihak berkaitan.

Pragiwaksono turut menyelar tindakan dua pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah kerana menerima konsesi perlombongan daripada kerajaan.

Perkara ini dilaporkan berlaku semasa Joko Widodo atau Jokowi masih bergelar Presiden Indonesia. Dua organisasi itu kemudiannya menafikan wujud salah laku membabitkan konsesi berkenaan.

Malah, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah memaklumkan konsesi tersebut bertujuan menjaga kebajikan ahli masing-masing.

Susulan penyiaran rancangan komedi Pragiwaksono itu, lima laporan polis difailkan dengan dua daripadanya dikatakan dibuat ahli sayap belia Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah.

Walau bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh kedua-dua organisasi itu. Mereka turut memaklumkan tiada kena-mengena dengan dua individu yang mengemukakan laporan tersebut.

Claim Money Packet TnG