Warganet Kagum Tengku Mahkota Pahang Utamakan Solat Di Gunung Kinabalu

Ramai warga maya memuji sikap KDPM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengutamakan kewajipan solat semasa mendaki Gunung Kinabalu.

Ini berdasarkan satu video yang dikongsikan stesen radio Sinar FM baru-baru ini. Video tersebut menunjukkan Tengku Hassanal menunaikan solat di puncak Gunung Kinabalu.

Aktiviti pendakian gunung tersebut diadakan sempena Ekspedisi Mahkota Borneo. Tengku Hassanal disertai 46 pegawai Majlis Kesultanan Pahang (MKP), Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU).

Turut sama menyertai ekspedisi sama ialah Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Sebaik video itu disiarkan di media sosial, ramai warga maya memberi maklum balas positif. Seorang pengguna Instagram bernama Ms_Shucantik berharap perilaku baginda menjadi teladan kepada umat Islam agar berusaha menjaga solat dalam kehidupan.

“Allahuakbar Masha Allah, semoga menjadi contoh untuk semua rakyat jelata. Semoga mendapat jodoh yg sama baiknya,” katanya di ruang komen.

Turut senada dengan Ms_Shucantik ialah seorang lagi pengguna bernama Ayimvat69. “Kepimpinan melalui teladan,” katanya.

SKamal123 pula menyifatkan ini menyerlahkan lagi sifat merendah diri yang dimiliki Tengku Hassanal. “Antara (figura) yang paling saya kagumi. Yang sentiasa merendah diri dan senang (bersama) dengan rakyat,” ujarnya.

Ekspedisi Mahkota Borneo bukan saja bertujuan memberi galakan kepada masyarakat untuk menjalani gaya hidup sihat. Malah, ia secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara Sabah dan Pahang.

Claim Money Packet TnG