Anwar Ibrahim Arah Robohkan Rumah Ibadat Haram

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merobohkan rumah ibadat yang dibina secara haram.

Hal ini dinyatakan beliau semasa menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya.

Anwar memaklumkan kerajaan tidak akan membenarkan pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan, dan majlis bandaraya (PBT) diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.

“Saya tahu (ini akan) mengundang kontroversi, sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga, kerja kami kerja negara, ini negara hukum,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.

Anwar turut menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan kewujudan rumah ibadat yang dibina sewenang-wenangnya tanpa kelulusan.

“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan di bawah pokok, di mana-mana sahaja. Ini mesti dibendung. Di negara lain pun, termasuk India dan China, pembinaan rumah ibadat hanya dibenarkan di tempat yang sah,” ujarnya.

Anwar juga mahu setiap projek rumah ibadat dibuat mengikut undang-undang. Ini bagi memastikan ada solusi bersifat menang-menang buat semua pihak.

“Masjid yang dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga semua yang lain. Jadi harus dicari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.

“Kalau ada pelanggaran, barulah kita ambil tindakan. Kita jalan ikut undang-undang, bawa bincang dengan cara yang sah dan berperaturan,” tambahnya.

Kenyataan Anwar dibuat susulan isu pembinaan rumah ibadat haram yang hangat diperkatakan ketika ini.

Claim Money Packet TnG