Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan beliau menghidapi penyakit kanser prostat.
BBC News melaporkan pengakuan itu dibuat selepas laporan perubatan tahunannya mendedahkan beliau menjalani proses pembedahan membuang tumor.
Netanyahu memaklumkan tumor tersebut dikesan tidak lama selepas beliau menjalani proses pembedahan di bahagian prostat. Selepas tumor itu dikesan, proses pembedahan dibuat bagi membuang tumor berkenaan.
“Bila saya diberi maklumat tentang potensi bahaya, saya mahu perkara itu (tumor kanser) ditangani dengan segera.
“Ini sesuatu yang benar di peringkat nasional dan juga secara peribadi,” katanya.
Figura berusia 76 tahun itu turut mendedahkan bahawa beliau memohon penangguhan pelepasan rekod perubatan tahunannya tatkala konflik tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Netanyahu memaklumkan ini bertujuan memastikan tiada berita palsu berhubung status kesihatannya timbul semasa konflik tercetus.
Pendedahan ini timbul tatkala beliau dijangka mengadakan lawatan ke AS tidak lama lagi untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden negara itu, Donald Trump. AS pada ketika ini berusaha mengadakan perjanjian damai dengan Iran susulan konflik yang tercetus.
Gencatan senjata juga berlaku antara Israel dan Lubnan. Gencatan senjata itu kini dilanjutkan lagi selama tiga minggu tatkala perjanjian cuba dicapai antara kedua-dua negara.