Bagi orang yang biasa melancong sekitar China dan Hong Kong, salah satu mercu tanda Hong Kong ialah Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau yang juga jambatan terpanjang di dunia.
Idea pembinaan jambatan ini mula dicadangkan jutawan Hong Kong, Gordon Wu sekitar tahun 80-an. Idea tersebut hanya menjadi realiti pada 2002 apabila usul pembinaan Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau diluluskan Majlis Perundangan Hong Kong (LegCo).
AOL melaporkan projek tersebut mula digerakkan pada 2009 dan mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan. Kos Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau menelan belanja AS$15 bilion (RM59 bilion).
Meskipun projek ini menelan belanja yang besar, Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau membantu merancakkan kegiatan ekonomi wilayah Guangdong, China, Hong Kong dan Macau.
Ini kerana jambatan sepanjang 55 kilometer (km) itu mengurangkan tempoh perjalanan dari Zhuhai ke Hong Kong dari empat jam kepada 40 minit.
Selain itu, ini membantu China menjadikan kawasan Greater Bay sebagai hab ekonomi penting. Henqin, Zhuhai misalnya diklasifikasikan sebagai zon perdagangan bebas pada 2015.
Jambatan ini terdiri daripada pelbagai komponen termasuk pulau buatan manusia, jambatan dan sambungan jalan raya. Selain itu, usaha merealisasikan Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau juga perlu mengambil kira cabaran cuaca dan impak alam sekitar terutama hidupan marin.
Firma kejuruteraan Arup menyumbang kepada pelbagai komponen jambatan ini. Ini termasuk fasa rekaan awal, pulau buatan awal dan sambungan jalan dan terowong penting untuk Macau dan Hong Kong.