Sebuah entiti pengurusan aset dari Amerika Syarikat (US) telah membeli pemilikan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di United Kingdom (UK).
DagangNews melaporkan KWSP telah menjual portfolio 12 hospital swasta di negara itu kepada Blue Owl Capital Inc dengan nilai £1.3 bilion (RM7.5 bilion).
Moor Park Capital Partners akan terus kekal menjadi pengurus aset berkenaan. Blue Owl berjaya mendapatkan portfolio berkenaan menerusi dana berjumlah £1.3 bilion (RM7.5 bilion) setakat ini.
KWSP telah menggerakkan usaha menjual portfolio hospital menerusi firma hartanah Knight Frank sejak tahun lalu.
Sehingga artikel ini ditulis, Blue Owl dan KWSP enggan memberi komen berhubung transaksi yang dijalankan berhubung portfolio 12 hospital tersebut.
Aset yang ada pajakan jangka panjang dan mampu bertahan dari segi tekanan inflasi terus menjadi pilihan pelabur.
Keadaan itu memacu peningkatan minat ke atas hartanah penjagaan kesihatan kerana penyewa terdiri daripada organisasi yang disokong kerajaan atau institusi berkaitan kerajaan. Aset sebegini turut menawarkan aliran pendapatan lebih stabil.
Permintaan terhadap penjagaan kesihatan swasta di UK meningkat terutama selepas pandemik Covid-19. Situasi ini memberi tekanan kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) UK yang bergelut mengurangkan senarai menunggu pesakit yang semakin panjang.
Tahun 2023 sahaja menyaksikan seramai 4.7 juta individu di UK memiliki insurans kesihatan swasta menerusi majikan. Maklumat ini berdasarkan data Persatuan Insurans British (ABI).
NHS juga menggunakan perkhidmatan hospital swasta untuk menjalankan prosedur tertentu. Laporan LaingBuisson mendedahkan bahawa NHS membelanjakan £2.1 bilion (RM11.4 bilion) di hospital swasta pada 2024 dengan tambahan £1.5 bilion (RM8.2 bilion) di klinik swasta.