Pengukuhan nilai RInggit Malaysia (RM) berbanding mata wang baht Thailand mendorong ramai rakyat Malaysia berbelanja besar di negara jiran itu.
Akhbar Kosmo melaporkan kadar tukaran semasa RM1 bersamaan dengan 8.1 baht. Hal ini membantu rakyat Malaysia terutama yang berada di Kelantan menikmati penjimatan antara 10% hingga 20%.
Ini kerana kos pelbagai perkhidmatan dan barangan termasuk barangan harian lebih murah berbanding sebelumnya.
ini membuka ruang buat peniaga-peniaga tempatan membeli stok barang dalam jumlah yang besar dari Thailand. Ini sekaligus menambah baik pusingan modal mereka terutama yang berstatus peniaga kecil.
Selain itu, rakyat Malaysia terutama pelancong merasakan perbelanjaan mereka di negara itu cukup berbaloi pada kadar yang berpatutan.
Lantas, tidak hairanlah apabila RM1 dilaporkan bersamaan dengan 8.01 baht pada Februari lalu, ramai orang berpusu-pusu ke pintu sempadan negara terutama di Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang untuk melancong dan berbelanja.
Meskipun terpaksa bersesak dan menunggu berjam-jam di pintu sempadan, penantian tersebut dianggap berbaloi dengan kuasa nilai ringgit yang semakin mengukuh.
Baht Thai mula melemah sejak akhir Februari lalu susulan kenaikan harga minyak yang dipacu oleh konflik global termasuk konflik Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Sejak konflik tercetus, baht telah susut lebih 4% berbanding dolar AS dan sekitar 3.4% berbanding dolar Singapura, menjadikannya antara mata wang paling lemah di Asia ketika ini.
Nilai baht makin lemah disebabkan kebergantungan Thailand kepada import tenaga. Peningkatan harga minyak secara langsung meningkatkan kos import dan menekan imbangan akaun semasa negara itu.
Jika situasi ini berterusan, penganalisis industri, Nazri Hamdan berpandangan baht boleh saja mencecah sekitar 33 hingga 33.9 berbanding dolar AS. Ini akan menjadi paras terlemah mata wang itu sejak tahun 2025.