Singapura mengkaji syor menghentikan import gas dari Indonesia dan beralih kepada sumber lain termasuk tenaga nuklear sebagai sumber alternatif.
The Malay Mail melaporkan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sedia menimbang semua pilihan bagi memastikan negara itu terus memiliki sumber tenaga yang diharap.
Wong mengakui wujud kebimbangan orang ramai tentang tenaga nuklear atas faktor keselamatan. Pada masa sama, beliau melihat ini satu pilihan yang harus dipertimbang sebagai pilihan alternatif.
“Singapura memerlukan sumber tenaga yang lebih bersih bagi membekalkan tenaga elektik yang boleh diharap sepanjang masa.
“Kita memandang serius kebimbangan orang ramai. Keselamatan harus diutamakan terlebih dahulu.
“Tapi kita juga tidak patut menolak satu pilihan hanya kerana ia sukar atau bersifat kontroversi,” katanya dalam sidang Parti Tindakan Rakyat (PAP) baru-baru ini.
Wong berkata demikian selepas Indonesia memilih mengurangkan import gas kepada negara republik itu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memaklumkan langkah itu dibuat bagi menjamin bekalan untuk warganya terlebih dahulu.
Susulan itu, Wong kemudiannya memaklumkan pengimport gas Singapura akan mengambil langkah untuk melindungi hak mereka yang terkandung dalam perjanjian komersial antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Menteri Tenaga Indonesia, Bahlil Lahadalia memaklumkan negara itu akan mengurangkan eksport tenaga dan mengutamakan kegunaan domestik.
Bahlil juga memberi amaran bahawa Indonesia sedia mengambil tindakan terhadap mana-mana negara yang tidak menghormati negara itu.


